Selagi hayat, selagi itulah berjuang

Anggota Rejimen Renjer Malaysia diawal penubuhannya.

Sumber: Berita Harian

LAUNGAN `Agi Idup Agi Ngelaban’ yang bermaksud ‘selagi hayat, selagi itulah berjuang’ yang menjadi pencetus pembentukannya 161 tahun dahulu terus menjadi pembakar semangat anggota Rejimen Renjer Diraja (RRD) untuk berjuang mempertahankan kedaulatan negara Malaysia yang dibina hasil gabungan tiga wilayah pada 1963.

Agi Idup Agi Ngelaban’ asalnya dilaungkan Panglima Rentap atau nama sebenarnya, Libau ketika mengetuai sepasukan pahlawan Iban mempertahankan kubu mereka di Sungai Lang, Skrang, Sarawak, yang digempur bala tentera Rajah Brooke pada 1854.

Sarjan Dajai Anggie (duduk) di dalam kubu ketika terbabit dalam operasi di sempadan Malaysia-Thailand.

Ketika mempertahankan kubu itu, Rentap berulang kali menyemarakkan semangat pengikutnya dengan laungan keramat itu dan ia terus dilaungkan anggota RRD hingga hari ini.

Di awal penubuhannya oleh Rajah Putih kedua, Charles Brooke pada 1862, seramai 120 anak pribumi masyarakat Iban dipilih menyertai `Sarawak Rangers’ dengan fungsi utamanya ketika itu sebagai pasukan pertahanan di kubu di lokasi strategik di bandar dan di muara sungai dibina pemerintah asing itu untuk menghalang serangan pemberontak.

Anggota Rejimen Renjer Malaysia diawal penubuhannya.

Sarawak Rangers yang dibarisi anggota `Iban Trackers’ dilatih khusus dengan kemahiran serta teknik peperangan hutan selain tugas kepolisian umum dan mereka dilengkapi dengan pelbagai senjata moden ketika itu seperti senapang, meriam, penggunaan senjata tradisional bagi melawan pihak cuba menjatuhkan pemerintahan keluarga Brooks.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR), Lt Kol (B) Mohd Melintang Abdullah, berkata, dalam sejarah yang panjang, RRD pernah beberapa kali melalui proses penjenamaan semula berikutan perubahan semasa ancaman dalam negara.

Sarawak Rangers pernah dibubarkan pada 1932, namun kepakaran serta keberanian anggota pasukan itu dalam misi khas mendorong mereka diserap dalam pasukan polis Sarawak, lebih dikenali sebagai Sarawak Constabulary.

Katanya, selepas pembubaran itu Sarawak Rangers terus mengalami perubahan dan mereka terbabit dalam semua konflik di wilayah ini termasuk membantu Tanah Melayu yang ketika itu sebagai negara berasingan dengan Sarawak dalam menghadapi ancaman pengganas komunis.

“Ketika tercetusnya Perang Dunia Kedua pada penghujung 1941, Sarawak Rangers ditubuhkan semula dengan anggota Iban Trackers yang sebelum itu diserap di dalam Sarawak Constabulary kembali ke Sarawak Rangers.

“Mereka dikerah untuk mengekang kemaraan tentera Jepun yang mendarat di Lutong, Miri.

“Walaupun, gagal mengekang kemaraan Jepun, anggota Iban Trackers di dalam Sarawak Rangers sama sekali tidak menyerah dengan mudah apabila mereka memberi tentangan sengit sebelum akhirnya terpaksa akur dengan kekuatan anggota tentera Jepun yang jauh lebih besar,” katanya.

Penjenamaan semula Sarawak Rangers

Mohd Melintang berkata, selepas Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu menghadapi pengganas komunis yang ketika itu berhasrat untuk memperluaskan pengaruh mereka di Asia Tenggara dan ancaman itu menyebabkan darurat pertama diisytiharkan mulai 1948 hingga 1960.

British yang kembali semula ke Tanah Melayu selepas perang memerlukan kemahiran menjejak yang dimiliki orang Iban dan mahir taktik perang gerila di dalam hutan.

Lt Kol(B) Mohd Melintang Abdullah

Justeru, satu platun seramai 29 Iban Trackers dibawa ke Tanah Melayu untuk bersama dengan Pasukan Tentera Perikatan British (BAF) yang turut disertai pasukan tentera India (Punjab), Australia, New Zealand dan Gurkha dari Nepal.

“British memerlukan kepakaran Iban Trackers yang ketika itu diakui sebagai pasukan terbaik dalam peperangan gerila dan sebaik dikerah melaksanakan misi awal di Tanah Melayu dalam darurat pertama itu, keupayaan anggota Iban Trackers itu terbukti berkesan.

“Melihat kemahiran mereka dalam menjejaki musuh di hutan, lima batalion tentera asing di bawah BAF berebut-rebut untuk mendapatkan khidmat Penjejak Iban bagi membantu mereka mengesan pengganas komunis dan pencapaian tertinggi Iban Trackers yang diiktiraf ialah kehebatan Awang Raweng (mendiang Datuk), yang menewaskan 50 pengganas komunis dalam pertempuran di Kluang, Johor pada Disember 1950,” katanya.

Lt Kol (B) Mohd Melintang ketika bertugas sebagai LO negara Kesatuan Afrika di ibu pejabat PBB di New York.

Sarawak Rangers kemudian dibubarkan pada 15 September 1963 dan dijenama semula menjadi Rejimen Renjer Malaysia berikutan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Kekang pencerobohan tentera negara jiran

Sebaik penubuhan Malaysia, konfrontasi tercetus pada 1964 apabila Indonesia melancarkan gerakan ‘Ganyang Malaysia’.

Kali ini, Batalion Pertama, Rejimen Renjer Malaysia berperanan penting mengekang pencerobohan tentera negara jiran itu dengan ditugaskan mengawal sempadan Sarawak-Kalimantan di kawasan Batu Lintang dan Lubok Antu di Sri Aman.

Awang Raweng (tengah) bersama penerima pingat keberanian Britain yang lain merakam gambar kenangan Raja Charles III.

Selepas itu, Rejimen Renjer Malaysia terbabit pula dengan darurat kedua yang bermula 1968 bagi membentuk ancaman perang revolusioner yang dilancarkan oleh pengganas komunis khususnya di sempadan Malaysia-Thailand di Perak, Kedah dan Kelantan selain mencetuskan ancaman di Sabah dan Sarawak.

“Dalam era darurat kedua itu juga tercetus Peristiwa 13 Mei 1969 dan Rejimen Renjer Malaysia, majoritinya dianggotai pribumi Sarawak dan Sabah sebagai pasukan berkecuali dikerah untuk mententeramkan pergaduhan yang tercetus antara kaum di Semenanjung.

“Selepas itu, kerajaan melaksanakan pembangunan di kawasan luar bandar menerusi Program Keselamatan Pembangunan (KESBAN) dan salah satu projek dilaksanakan ketika itu ialah pembinaan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Grik, di Perak dengan Jeli di Kelantan dalam usaha mengekang pergerakan pengganas komunis.

“Pengganas yang terkesan dengan projek itu bertindak mensabotajnya dengan meletup banyak jentera selain mengganggu pekerja dan ketika itu khidmat Rejimen Renjer Malaysia diperlukan bagi mengawal sepanjang laluan projek, yang mana saya sendiri terbabit dalam operasi itu,” katanya.

Lt Kol (B) Mohd Melintang Abdullah di dalam kubu ketika mengawal projek Lebuh Raya Timur Barat pada awal 1980-an.

Selain itu katanya, apabila Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) ditubuhkan pada 1972, Rejimen Renjer Malaysia turut terbabit secara langsung dalam memerangi ancaman pengganas komunis di Sarawak apabila turut diberi tanggungjawab utama dengan Batalion Pertama yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah dipindahkan ke Sibu.

Pada 1992, Rejimen Renjer Malaysia penjenamaan semula sekali lagi dijalankan pasukan infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) itu dianugerahkan gelaran `Diraja’ sekali gus namanya ditukar sebagai Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang kekal hingga kini.

Pada 2013, negara dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu di Lahad Datu, Sabah dan RRD turut dikerah untuk menangani konflik itu dengan menghantar Batalion Ke-3 RRD yang berpangkalan di Sibu ke panntai timur Sabah.

RRD terima banyak pengiktirafan

Dalam tempoh 161 penubuhannya, RRD menerima banyak pengiktirafan termasuk ramai anggotanya dianugerahkan pingat keberanian tertinggi negara berikutan keberanian luar biasa mereka mempertahankan kedaulatan negara.

Malah, RRD pastinya berbangga apabila salah seorang anggota Iban Tracker, iaitu mendiang Datuk Awang Raweng dianugerahkan pingat keberanian tertinggi British iaitu George Cross (GC) pada 1951.

Rakyat Malaysia juga pastinya mengenali nama Pahlawan Negara, mendiang Temenggong Datuk Kanang Langkau yang menerima pingat terkanan Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) selain pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan ramai lagi penerima pingat.

Selain kehebatan dalam pertempuran, kemahiran pegawai dan anggota RRD turut diiktiraf di peringkat antarabangsa antaranya Mohd Melintang sendiri yang pernah diberi tanggungjawab penting di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York apabila dilantik sebagai Pegawai Perhubungan untuk 53 negara Kesatuan Afrika.

Mohd Melintang diberi tugas itu hampir lima tahun, namun sebelum itu tiga tahun beliau terbabit dalam beberapa misi PBB antaranya sebagai pemerhati di Liberia pada 1995, selepas itu menyertai misi PBB di Eriteria dan Ethiopia, Bosnia dan di Darfur, Sudan.

“Sepanjang tempoh berkhidmat dalam misi PBB, saya pernah berdepan detik mencemaskan apabila diculik termasuk oleh puak pemberontak di Liberia dan sekali lagi ketika bertugas di Eriteria dan Ethiopia dan pengalaman dalam beberapa misi PBB itu mendorong saya dipilih sebagai Pegawai Perhubungan PBB bagi negara Kesatuan Afrika.

“Dengan jumlah keseluruhan lapan tahun, saya antara pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) paling lama berkhidmat dengan PBB dan itu antara kebanggaan kerana ia menunjukkan pegawai RRD juga diiktiraf di peringkat dunia,” katanya yang kini bertugas sebagai Pendaftar Kolej Universiti i-CATS, institusi pengajian tinggi awam milik Yayasan Sarawak di Kuching.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *