Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-panji Rejimen

Sumber: Facebook Rasmi Rejimen Renjer Diraja

ISTIADAT PERBARISAN PERTUKARAN PANJI-PANJI REJIMEN BATALION PERTAMA DAN BATALION KEDUA REJIMEN RENJER DIRAJA

KANGAR: 16 Oktober 2024. Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama dan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja telah berlangsung secara serentak di Padang Kawad Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja, Kem Bukit Cowder, Kangar, Perlis. Istiadat ini telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis merangkap Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja (Kol YDP RRD) diiringi DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Perempuan Perlis. Turut berangkat DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.
Istiadat perbarisan yang terdiri daripada 31 pegawai dan 378 anggota lain-lain pangkat (LLP) ini merupakan satu tanda penghormatan dan penghargaan terhadap kesetiaan, kebaktian dan pengorbanan dalam mempertahankan kedaulatan Raja dan Negara.

Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja telah dianugerahkan Panji-Panji Rejimen pada 8 Oktober 1979 bertempat di Kem Terendak, Melaka. Istiadat pertukaran pertama telah dilaksanakan pada 20 Jun 2001 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Johor. Manakala Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja pula telah dianugerahkan Panji-Panji Rejimen pada 30 April 1980 bertempat di Stadium Larkin, Johor Bharu, Johor. Istiadat pertukaran pertama telah dilaksanakan pada 27 November 2000 bertempat di Kem Syed Putra, Ipoh, Perak. Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen ini merupakan pertukaran kedua Panji-Panji Rejimen bagi kedua-dua batalion.

Acara diakhiri dengan Majlis Santapan Makan Tengahari di Dewan Makan 4 RRD disusuli penyampaian Cendera Kenangan kepada DYMM Kol YDP RRD oleh Pegawai Memerintah 1 RRD dan 2 RRD serta Cendera Kenangan kepada DYMM Raja Perempuan Perlis oleh Pengerusi BAKAT 1 RRD dan 2 RRD.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Syukri bin Ramli dan isteri, SUK Negeri Perlis, YB Dato’ Rahimi bin Ismail dan isteri, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD) Leftenan Jeneral Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri dan isteri, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato Hj Fazal bin Abdul Rahman dan isteri, Mantan-mantan Pengerusi RRD dan isteri, Agensi Awam Negeri Perlis, Pegawai-Pegawai Kanan TD dan isteri serta Peg RRD bersama isteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *