Sumber: Facebook Syahril A. Kadir
SEBENTAR tadi saya mendapat tahu bekas pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD atau nama sebenarnya Che Dat Anjang Abdullah meninggal dunia pada usia 100 tahun. Perkara itu dimaklumkan oleh menantunya Indrajaya Abdullah.
“Bekas Pengerusi PKM dan pengasas pasukan Rejimen Ke 10 Tentera Rakyat Malaya, telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9.29 pagi ini di Kampung Perdamaian Sukhirin, Wilayah Narathiwat dalam umur 100 tahun 3 bulan,” katanya.
Benar, saya pernah menemui Abdullah, termasuk menantunya itu, Indrajaya ketika melakukan satu ‘tugasan khas’ sewaktu bergelar wartawan jenayah tak lama dulu. Kami bertemu di Hatyai, Thailand. Lebih tepat di Hotel Lee Garden, tempat di mana termaterinya perjanjian damai antara PKM dan kerajaan Malaysia pada tahun 1989.
Sekarang hotel tu dah tak beroperasi, Hotel Lee Garden yang ada di tengah bandar Hatyai sekarang adalah hotel yang lebih baru dan moden. Untuk makluman anda, Abdullah adalah anak jati Lambor Kiri, Perak. Rakan rapatnya yang juga pemimpin komunis Melayu, Allahyarham Rashid Maidin turut berasal dari Perak, tapi dari Kg. Mesah, Gopeng.
Dia di antara pemimpin komunis Melayu yang berkahwin dengan wanita Cina. Rashid Maidin beristerikan Selamah Abdullah, yang nama asalnya Chau Chi Chu. Abdullah pula berkahwin dengan Suriani Abdullah (Eng Ming Ching), seorang pejuang komunis terkenal juga. Dah arwah pun Salamah beberapa tahun lepas. Abdullah masuk komunis sejak tahun 1948 lagi, Tanah Melayu pun tak merdeka lagi masa tu, lama tak lama guys.
Masa saya jumpa Abdullah, dia dah jadi macam penghulu la kepada 436 orang penduduk di Kampung Banchulabhorn Pattana 12 di daerah Sukhirin, selatan Thailand. Lepas perjanjian damai tu, ramai pemimpin dan anggota Parti Komunis Malaya memilih untuk tinggal di Thailand dan tak pulang ke Malaysia termasuklah Abdullah sendiri, Chin Peng, dan Rashid Maidin. Malah kesemua mereka dah dapat jadi warganegara Thai pun sekarang.
Abdullah dan isterinya menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun 1989. Apapun sebagai umat Islam, baik atau buruk, kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dosa-dosanya diampunkan. Yang penting bukan di mana bermula, tetapi di mana pengakhirannya. Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un
SYAHRIL A. KADIR