PVTKR rayu pelarasan pencen veteran tentera

Mohd Melintang (kiri) bersama Fadillah ketika melancarkan buku ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ pada Majlis Makan Malam Amal PVTKR di Kuching, Sabtu lalu. – Foto Ihsan PVTKR

Original Article Berita Harian

Oleh Mohd Roji Kawi – Ogos 12, 2024 @ 1:38pm
mdroji@bh.com.my

KUCHING: Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) menuntut agar isu pelarasan pencen bagi bekas anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan selepas tahun 2013 diselesaikan segera.

Presidennya, Leftenan Kolonel (B) Mohd Melintang Abdullah, berkata pelarasan pencen itu diperjuangkan oleh pihaknya sejak 2014.

Beliau berkata, pihaknya mengulangi rayuan agar perkara itu diberi perhatian khusus dan harapan veteran tentera itu disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Makan Malam Amal PVTKR dan Pelancaran Buku ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ di sini, Sabtu lalu.

“Ramai kalangan pesara yang pernah berkhidmat pada era darurat pertama, konfrontasi dan darurat kedua dengan kebanyakannya berusia antara 52 hingga 99 tahun, malah ramai yang sudah meninggalkan kita.

“Justeru kami (PVTKR) berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan isu ini serta mengalu-alukan agar pelarasan pencen turut diambil kira dalam pengumuman gaji baharu kakitangan awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos ini,” katanya.

PVTKR yang ditubuhkan pada 2015 mempunyai seramai 1,150 ahli kalangan bekas anggota Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Mohd Melintang berkata, pihaknya memperjuangkan pelarasan pencen itu untuk pesara tentera yang di Sarawak sahaja berjumlah lebih 17,000 orang.

“Jumlah itu tidak termasuk bekas anggota polis yang banyak berjasa dan berkorban mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Menurutnya lagi, kali terakhir Kerajaan Persekutuan menzahirkan penghargaan kepada pesara tentera ialah menerusi pembayaran ‘one off’ sebanyak RM500 bagi meringankan kos sara hidup pada 2021.

“Berikutan kedudukan kewangan kerajaan Sarawak pada penghujung Disember 2023 agak kukuh dengan pendapatan sebanyak RM13.4 bilion, kami veteran tentera dan polis mengambil kesempatan menyatakan kepada Datuk Seri Fadillah agar kerajaan Sarawak dapat memberi ‘one-off’ pada jumlah yang berpatutan bagi menghargai jasa pahlawan negara di Sarawak ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *